Jumaat, 24 September 2010

BUKAN BEGITU ADIKKU

Kepulangan Sofia sebulan yang lalu dari PLKN membawa seribu perubahan terhadap dirinya. Kelembutan dirinya yang pernah kukenali dulu, aku rasakan telah jauh hilang dari dirinya. Keputusannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya itu benar-benar mengejutkan keluargaku.
“Aah..aku tak kisah, walau apa pun terjadi sekalipun, aku akan tetap mengawini Joe”. Pekik Sofia ketika disuruh oleh keluargaku untuk memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.
Joe merupakan teman lelakinya sejak di bangku sekolah lagi. Kami sekeluarga menolak hasrat Sofia untuk berkahwin dengan Joe kerana lelaki terbabit tiada ciri-ciri lelaki yang baik dan keluarganya adalah terdiri dari keluarga yang bermasalah. Sikap keras kepala adikku Sofia membuatkan kedua orang tuaku bimbang mimikirkannya. Sudah banyak nasihat yang telah diberikan, namun semuanya seperti mencurahkan air ke daun keladi.
Selama dua minggu bermacam-macam yang diiktiarkan keluarga. Malah, ayah dan ibu pernah membawanya berubat cara kampung. Saudara-mara dan rakan-rakanya turut member motivasi kepada Sofia. Namun semuanya sia-sia belaka kerana Sofia tetap cintakan Joe. Lebih menyakitkan hati lagi apabila, dia sering memalingkan dan bermasam muka dengan ayah dan ibu.
“Adik, tolonglah jauhkan diri kamu dengan Joe tu, dia bukan yang terbaik untuk dirimu. Sofia kena buat keputusan yang tepat dalam membuat keputusan, tambah-tambah lagi benda ni kan melibatkan masa depan Sofia.” rayuku kepada Sofia.
“Eh perempuan, kau jangan masuk campur hal aku okey. Aku pun tak pernah campur hal kau. Itu hal hidup aku, aku punya pasal la. Kau nak sibuk-sibuk tu kenapa? jawab Sofia dengan muka yang sangat bengis.
“Hissyy, cakap biar beralas dik. Kau sedar tak? Sebab akak sayangkan kau la akak buat semua ni. Kalau akak tak sayangkan kau dah lama akak tak ambik tau. Keputusan kau tu salah dik. “
Sofia mengeluh sambil melabuhkan punggungnya ke sofa tanpa mempedulikan kata-kataku.
“Beginilah dik…” tanpa aku menghabiskan kata-kata itu, ibuku datang untuk mententeramkan keadaan.
“Dah la Sarah, buang masa je kau layan budak ni. Mak dah tak tau nak buat macam mana. Nasihat mak dengan ayah kau dia tak padulikan, ni kan nasihat kau Sarah. Mak malu dengan semua orang. Mak ni tau mengajar agama anak orang, tapi anak sendiri mak tak tau nak ajar.” lembut tutur kata ibuku Puan Zainab langsung tidak menyentuh sudut hati Sofia. Ibuku seakan sudah berputus asa untuk menasihatinya.
Tepat pukul 6.00 petang, ayahku Encik Emran pulang dari tempat kerjanya. Ketika itu, Sofia sedang menonton televisyen. Hatinya berdebar-debar apabila melihat kelibat ayah yang sedang menghampirinya. Wajah ayah kemerah-merahan seperti menahan kemarahan.
“Sofia, kau beritahu ayah betul-betul kenapa kau nak sangat kahwin dengan laki tu? Apa yang kau dah buat ni, sampai macam-macam orang kat luar sana tu bercerita tentang kau. Ayah pun dah bosan dengar semua tu.” tanya ayah dengan nada kemarahan.
Mata Sofia beralih pada mata ayah. Terlihat anak mata yang bundar dan berkaca-kaca menahan sebak.
“Saya cintakan dia ayah. Saya perlukan dia untuk teruskan hidup ni. Habis tu, Sofia nak buat macan mana lagi ayah, Sofia cakap dengan ikhlas ni, Sofia benar-benarkan cintakan dia. Sofia minta maaf.”
“Tapi Sofia juga kena faham, Joe tu bukan lelaki terbaik yang boleh bimbing Sofia ke jalan yang benar. Ayah tak kisah kalau Sofia nak kawin pun, tapi carilah lelaki yang mampu memberi yang terbaik pada kita. Lelaki tu apa yang ada, dah la tak ada kerja. Ilmu agamanya tak sekukuh mana. Sofia bukalah mata tu luas-luas. Ayah tak nak anak ayah merana.” Sofia bergegas lari menuju ke biliknya dengan tangisan. Sofia tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi.
Ayah terpaksa menyekat perasaan sayang Sofia terhadap lelaki itu. Dia terpaksa berbuat begitu agar diri Sofia tidak hanyut dalam rasa sayang yang sementara. Aku ke bilik untuk mendapatkannya. Aku terdengar jeritan Sofia yang bertalu-talu.
“Aku yakin! Joe sayangkan aku. Dan aku…aku jugak sayangkan dia. Aku takkan benarkan sesiapa pun hancurkan hubungan aku dengan dia. Aku cintakan dia!!!” Sofia menjerit sekuat hati.
Aku segera mendapatnya Sofia. Hati wanitaku sedikit tersentuh dengan situasi itu. Aku bersimpati pada Sofia. Adikku itu telah jatuh cinta di tempat yang salah.
“Dik, dengan cakap akak ni. Bukan begitu adikku caranya kita menyintai seseorang. Sofia kena ingat, hubungan tanpa restu orang tua tu tak kan diredhai Tuhan dik. Apa yang ayah cakapkan tadi tu betul. Sofia kena terima.”
“Tolong tinggalkan aku sendirian. Aku tak mahu diganggu!!!” keras Sofia menjerit. Aku terasa kakiku lemah berjalan untuk meninggalkannya sendirian. Sampai begitu sekalikah perasaan benci Sofia terhadapku.
Malam itu, setelah selesai Solat Maghrib, sekali lagi aku mendapatkan Sofia di kamarnya tanpa mengambil hati kata-katanya petang tadi. Ayah dan ibu menyuruh aku memanggilkan Sofia untuk makan malam. Namun aku terkejut, kelibat Sofia tidak ku temui. Hanya yang ku temui secebis kertas di atas meja. Aku memahatkan pandangan pada bait-bait tulisan yang tertera di kertas itu.
Untuk ibu, ayah, dan kakak tersayang,
Sofia terpaksa pergi tinggalkan kalian. Sofia akan buktikan yang Sofia boleh bahagia bersama Joe. Jangan cari Sofia lagi. Maafkan Sofia.
“Sarah, kamu buat apa? Kenapa lambat sangat? Dah lama ayah kamu tunggu hendak makan malam tu.” Di mana Sofia? Sapaan ibuku mengejutkan aku. Aku memberikan surat yang ditinggalkan Sofia itu kepada ibu tanpa berkata apa-apa.
Sudah tiga hari ibu terlantar sakit di hospital selepas kehilangan Sofia. Aku bingung, tidak tahu di mana lagi harus aku mencari Sofia. Perbuatannya benar-benar sudah melampau. Kasih ibu dan ayah pada Sofia terlalu suci untuk disia-siakan. Sofia patut sedar tentang itu. Tetapi perempuan seperti Sofia itu terlalu payah untuk difahami.
Tanpa melengahkan masa lagi, aku pergi mencari Sofia di kediaman keluarga Joe. Tetapi pencarianku juga sia-sia. Keluarga Joe menjelaskan sudah sebulan Joe tidak pulang ke rumah, dan mereka menyalahkan adikku di atas kehilangan Joe. Aku buntu memikirkan Sofia.
Setelah seminggu berlalu, aku ternampak wajah sugul Sofia terpacul di muka pintu wad Dahlia. Aku melihat Sofia menyeka air mata yang sedang menitis. Dalam pada masa yang sama, ibu dan ayah memandang Sofia dengan rasa berbaur. Di raut wajah Sofia ada kesalan dan ada kerinduan.
“Nak, ke mana kamu pergi. Sofia tak sayang ibu ke? Tiba-tiba ibu bersuara. Sofia berlari mendapatkan ibu di katil.
“Ibu, maafkan Sofia. Sofia bersalah dengan perbuatan Sofia. Sofia bodoh dalam membuat keputusan.” tangis Sofia sambil memeluk-meluk tubuh ibu.
Ibu menangis sekuat hati tanda bersyukur di atas perubahan Sofia.
“Alhamdulilah Sofia kalau kamu dah berubah. Itulah yang ayah harapkan selama ni. Akhirnya doa kami termakbul juga.” ujar ayah ketika menghampiri Sofia yang berada di sisi ibu.
“Sofia mintak maaf ayah, Sofia dah berdosa pada ayah dan ibu. Ampunkan Sofia. Sofia menangis tersedu-sedu. Sesungguhnya begitu perit apa yang dirasakan oleh Sofia.
Aku menghampirinya untuk mengetahui perkara yang sebenar.
“Ke mana kamu menghilang dik? Kamu tak kesian pada pada ibu dan ayah ke? Seminggu kamu menghilangkan diri tanpa khabar berita. Kamu sedar tak, kamu sudah menyakiti perasaan orang tua kita dik? tanyaku kepada Sofia. Tanpa ku sedari, setitik mutiara jernih menitis di pipiku menahan sebak.
“Sofia di tipu akak. Joe cuba memperkosa Sofia. Nasib baik Sofia sempat melarikan diri. Pada masa yang sama juga, baru Sofia tahu yang dia sebenarnya terlibat dengan dadah. Sofia minta maaf, sebab tak dengar kata-kata akak dulu. Sofia betul-betul menyesal. Apa yang berlaku telah menyedarkan Sofia.”
“Dahlah dik. Jangan dikenangkan lagi perkara yang dah berlalu. Mulai saat ni, kamu jadikanlah atas apa yang terjadi ni sebagai pengajaran dan pengalaman yang boleh mematangkan dirimu. Setiap manusia, pasti melakukan kesilapan. Kamu kena ambik iktibar di atas apa yang berlaku ni ye dik.” ujarku kepada Sofia.
“Ibu, ayah, akak, pada masa akan datang Sofia tak akan ulangi kesilapan ni. Sofia janji. Joe pun dah di tahan polis kerana turut disyaki menjual dadah. Sofia buta sebelum ni. Sofia tak tahu nak nilai mana kaca, dan yang mana permata. Sofia betul-betul menyesal.” jelas Sofia dengan penuh keinsafan.
Selepas keadaan semakin reda, aku dapat rasakan hubungan kekeluargaan di antara kami bertaut kembali. Kini, ibu kembali sihat dan di benarkan pulang dari hospital. Aku mula dapat melihat ibu kembali tersenyum. Ayah sudah boleh menjalankan pekerjaannya dengan tenang. Sofia pula mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Ya Allah! Sesungguhnya kami bersyukur di atas perubahan Sofia. Terima kasih tuhan kerana memberi sinar petunjuk yang cukup bermakna kepada adikku. Kejadian yang menimpanya memberi seribu pengajaran kepada aku dan dirinya agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan